TAHAP PENCEMARAN SUNGAI DI JOHOR BAHRU

JOHOR BAHRU, 10 Mei 2012 :  Tahap pencemaran dua daripada empat batang sungai yang yang sudah sedia tercemar di negeri ini semakin kritikal sepanjang tempoh empat tahun lepas.

Dan daripada dua sungai itu, pencemaran Sungai Tukang Batu di Pasir Gudang adalah yang paling teruk.

Dalam tempoh berkenaan, Indeks Kualiti Air (IKA) sungai itu merosot daripada 28 pada 2002 kepada 17, tahun lepas.

Turut membimbangkan, Sungai Tebrau yang sebelum ini dikategorikan sebagai sederhana tercemar,  kini menjadi antara lima sungai paling cemar di negeri ini.

Ini berikutan IKA sungai itu yang merosot daripada 72 pada 2002 kepada 58, tahun lepas.

Sungai yang bacaan IKAnya 81 ke atas dikategorikan sebagai bersih manakala yang IKAnya di antara 60 dan 80 dianggap sederhana tercemar. Sungai yang mencatatkan bacaan IKA 59 dan ke bawah pula diklasifikasikan sebagai paling cemar.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), punca utama kemerosotan kualiti air Sungai Tebrau ialah pelepasan sisa loji-loji kumbahan Indah Water Konsortium.

Jurucakap JAS berkata kemerosotan IKA Sungai Tukang Batu pula berpunca daripada pembuangan sisa loji kumbuhan kilang di sekitar kawasan sungai itu.

Menurutnya sebatang lagi sungai yang IKAnya turut merosot dalam tempoh itu ialah Sungai Perembi, juga di Pasir Gudang.

“Bacaan IKA sungai ini turun kepada 47 daripada 49,” katanya dan menambah pembuangan sesuka hati kumbuhan kilang juga menjadi punca utama kemerosotan kualiti air.

Dua batang sungai lagi – Sungai Segget dan Sungai Buloh yang juga dalam kategori paling cemar, bagaimanapun menunjukkan sedikit perubahan.

Bacaan IKA Sungai Buloh di Pasir Gudang menganjak daripada 26 pada 2002 kepada 28, tahu lepas.
Sungai Segget pula mencatatkan perubahan yang menarik apabila bacaan IKAnya meningkat kepada 50 tahun lepas daripada 46 pada 2002.