LOJI RAWATAN AIR SUNGAI SEMENYIH DICEMARI AMMONIA

Operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentikan sementara hari ini, susulan paras ammonia yang dikesan terlalu tinggi pada 7.0 PPM (Part Per Million) berbanding paras normal 1.5 PPM.

Pengarah Eksekutif Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Abdul Halem Mat Som berkata pencemaran dikesan pada jam 5.10 pagi ini dan pengendali loji menutup operasi hampir tiga jam sehingga paras ammonia turun.

“Pengendali loji mengesyaki pencemaran air mentah di Sungai Semenyih itu berpunca daripada pembuangan sisa industri di kawasan berdekatan.

“Pihak pengendali loji telah memaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata walaupun operasi loji telah disambung semula, beberapa kawasan di Hulu Langat, khususnya Seksyen 1 dan 2 Bandar Baru Bangi serta Bandar Bukit Mahkota; dan Taman Dusun Jaya di Semenyih; serta Sungai Merab mengalami gangguan bekalan air.

Gangguan itu disebabkan ketidakstabilan pada paras kolam imbangan dan keadaan dijangka pulih sepenuhnya esok, katanya.

“Kejadian pencemaran air mentah ini amat membimbangkan Syabas kerana ia berpotensi mengakibatkan gangguan bekalan air bersih kepada lebih 280,000 pemilik akaun atau 1.3 juta pengguna di sekitar Sepang, Kuala Langat, Petaling dan Hulu Langat,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Abdul Halem berkata beberapa kawasan di bandar raya ini akan mengalami gangguan bekalan air pada 6 Mac ini disebabkan kerja pengalihan paip Syabas.
Gangguan dari 9 malam sehingga 5 pagi itu membabitkan keseluruhan kawasan Bukit Bintang dan Jalan Imbi.

Untuk maklumat lanjut atau aduan, pengguna boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-5252, atau menerusi khidmat pesanan ringkas dengan menaip PUSPEL<jarak><aduan/pertanyaan> dan hantar ke 39222, atau layari laman web Syabas di http://www.syabas.com.my; http://www.twitter.com/puspel dan Facebook.

– Bernama, 2012