AIR DAN MANUSIA

Jika ditinjau dari segi sejarah, air telah lama digunakan untuk pembangunan. Ini terbukti dengan wujudnya tamadun-tamadun silam di sekitar sungai yang menjadikan tanah tersebut subur dan dibangunkan. Sebagai contoh, tamadun Mesir di sepanjang Sungai Nil, tamadun China purba di Sungai Kuning dan tidak kurang juga penempatan awal di Tanah Melayu adalah di tepi sungai dan dipersisiran pantai.

Air juga merupakan bahan mentah yang penting dalam kebanykan bidang industri dan perusahaan. Contohnya seperti dalam industri pemakanan dan industri pembangunan. Pengeksploitasian air sebagai sumber semula jadi yang mudah didapati ternyata boleh mendatangkan pulangan kepada negara dalam bidang ekonomi dan pembangunan. Pembinaan empangan-empangan juga membolehkan air untuk digunakan untuk menjana kuasa elektrik.

Di dalam sektor perindustrian, penggunaan air semakin kompleks. Dalam usaha menuju negara maju, keperluan air perlu sejajar dengan kepesatan industri moden. Begitu juga jika dilihat keperluan air di bidang pertanian. Secara amnya, tumbuh-tumbuhan memerlukan kuantiti air yang mencukupi. Contohnya sawah padi, memerlukan sistem pengairan yang sistematik. Kawasan ladang, kebun sayur, hutan-hutan dan lain-lain bergantung penuh kepada air untuk hidup subur.

Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang paling banyak bergantung kepada sumber air. Tanpa bekalan air yang cukup, sektor tersebut akan lumpuh dan boleh membawa kepada fenomena kebuluran seperti yang kita lihat terjadi di negara-negara yang bergantung kepada hasil pertanian yang ditimpa kemarau panjang.

Selain daripada itu, air juga penting dalam pembangunan rohaniah. Kita memerlukan air untuk bersuci bagi membolehkan kita beribadat kepada Allah s.w.t. Dalam keadaan bersih dan suci, kita akan menjadi lebih tenang dan khusyuk serta tawaduk untuk beribadat kepada-Nya. Di samping itu, penciptaan yang berkaitan dengan air seperti hujan, sungai, telaga, air terjun dan sebagainya merupakan dalil kebesaran Allah bagi orang-orang yang berfikir.

Oleh kerana air merupakan sumber semula jadi yang amat penting, adalah wajar bagi kita untuk menjaga dan mengelakkan sumber-sumber air daripada tercemar oleh sisa-sisa pembangunan, sedangkan air itu sendiri yang telah banyak membantu dalam pembangunan negara. Sambutan Hari Air Sedunia pada 22 Mac yang disambut setiap tahun bermula pada tahun 1993, telah menampakkan keprihatinan warga global dalam sama-sama menangani dan memata-matai penggunaan dan penjagaan sumber air. Adalah diharapkan agar usaha ini akan berterusan sehingga masa-masa akan datang. Jimatkan penggunaan air kerana air tidak ternilai harganya dan merupakan sebahagian daripada nyawa kita. Allah juga telah mengingatkan kita supaya jangan berlebih-lebihan atau membazir dalam menjalankan apa-apa aktiviti, sebagaimana firman Allah:

".dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."

Surah al An'am : 141