AIR DAN ILMU PENGETAHUAN

Di antara ilmu pengetahuan yang berkait langsung dengan air ialah hidrologi. Hidrologi ialah kajian ke atas hidrosfera dan proses-proses pergerakan bentuk-bentuk air di dalam sistem bumi-atmosfera. Secara ringkas, kebanyakan ahli-ahli hidrologi berpendapat bahawa teras hidrologi ialah kajian terhadap 'kitaran hidrologi', iaitu pusingan air (dalam berbagai bentuk - cecair [air], wap [wap air] dan pepejal[ais]). Ahli-ahli hidrologi sentiasa berminat terhadap air sebagai satu sumber yang teragung yang diperlukan oleh semua makluk hidup. Dengan kepentigan air untuk fungsi-fungsi biologi yang tidak dapat dinafikan, ilmu hidrologi juga tertumpu kepada peranan air di dalam sistem bumi-atmosfera. Air mempunyai banyak kepentingan dan fungsi. Air adalah diperlukan untuk: (i) Air Untuk Manusia (ii) Air Untuk Hidupan Lain (iii) Air Untuk Menghasilkan Makanan (iv) Air Untuk Alam Sekitar.


Selain itu, kajian hidrologi adalah tertumpu kepada Air Untuk Alam Sekitar di mana air diperlukan untuk: sfera bumi, hidupan akuatik, hidupan terrestrial/daratan, pemindahan tenaga, penghasilan hujan (air tawar), pemuliharaan/perlindungan hutan, pengawalan aras laut, pembalikan bahangan suria, pengawalan bencana alam, penyerapan dan penyimpanan tenaga haba, pengawalan suhu, air bawah tanah, pengurangan bahan-bahan pencemaran, dan mengekalkan bumi sebagai 'dunia air'.